BINTULU, 12 Julai: Sektor pertanian menyumbang sebanyak RM14 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada 2022.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini menunjukkan sektor tersebut memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Jelas Abang Johari sumbangan berkenaan mewakili 10.4 peratus keseluruhan KDNK Sarawak pada tahun berkenaan dan merupakan antara yang terbesar selepas perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan kuari.
“(Berdasarkan) sumbangan ini dan latar belakang sumber tanah yang dimiliki oleh Sarawak (selain) sumber manusia, kita perlu melakukan reformasi untuk membangunkan sektor makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.